Isnin, 26 Januari 2009

Pindaan AUKU 2009

Bagi memurnikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin mahasiswa untuk memberi penerangan mengenainya. Dan, saya kira keputusan saya ambil untuk menghadiri taklimat pindaan AUKU di saat-saat akhir merupakan keputusan yang tepat. Input yang diperolehi hasil penerangan dan sesi soal jawab bersama dengan individu-individu penting yang terlibat dalam pindaan AUKU melihatkan satu budaya yang sihat dan harus diimplementasikan dalam kehidupan seharian selaku mahasiswa.

Bertempat di PICC, Putrajaya, penerangan telah disampaikan oleh Prof Dr Shaik Md Noor Alam Bin S.M Hussain daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merupakan salah seorang individu penting dalam pindaan AUKU yang terbaru. Untuk pengetahuan mahasiswa/i, akta pindaan 2009 akan bermula secara rasmi pada 1 Februari 2009. Taklimat ini dihadiri oleh universiti-universiti yang berada di zon tengah (UKM, UPM, UPNM, UM,UTM KL dan beberapa lagi IPTA)

Antara bahagian-bahagian penting yang saya ketengahkan disini adalah

# Syeksyen 15 (yang baharu) Hak Berpersatuan.

1) Seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang, dalam/luar Universiti, dalam atau luar Malaysia, kecuali :

a) mana-mana parti politik, dalam atau luar negara

b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, dalam atau luar Malaysia

c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga dan diberitahu secara bertulis kepada Naib Cancelor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti.

Pertubuhan badan dan kumpulan pelajar yang ditubuhkan di bawah perlembagaan turut diberi hak yang sama dan tertakluk kepada sekatan yang sama.

Selepas Menteri menyatakan/menamakan kepada Naib Canselor pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan beliau sebagai tidak sesuai adalah menjadi tanggungjawab Naib Canselor untuk menyampaikan kepada pelajar, atau pertubuhan pelajar berkenaan

Pengecualian : Naib Canselor boleh, atas permohonan pelajar, mengecualikan pelajar itu daripada peruntukan 15(1)(a)

*contoh : ahli politik menjadi pelajar

Jumaat, 9 Januari 2009

Mahasiswa Dibenar Sertai Demonstrasi Kutuk Israel



KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

“Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.

“Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ’Malaysia Future Leadership’ anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. - BERNAMA

Jumaat, 2 Januari 2009

ADA APA DENGAN KELAB DAN PERSATUAN?




Oleh: Ibnu Haris

Tahun 1970-an telah menyaksikan satu anjakan paradigma dalam sejarah pergerakan dan perjuangan golongan mahasisawa di Malaysia. Pada ketika inilah muncul tokoh-tokoh pemimpin pelajar yang agak radikal seperti Anwar Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi serta Sidiq Fadhil. Dalam masa yang sama, nama-nama persatuan pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) mula mengukir nama di persada politik tanah air khususnya PKPIM dan PBMUM yang dipimpin kedua-duanya oleh saudara Anwar Ibrahim selaku presiden pada sesi 1969/1970. Inilah antara senario pergerakan pelajar dan politik kampus yang pernah berlaku sekitar 1970-an dahulu; senario yang melambangkan manifestasi dan semangat berkobar-kobar golongan mahasisawa dalam memperjuangkan hak dan kebenaran sejagat.

Begitulah kuatnya ‘aura’ kesedaran mereka dan tebalnya cinta serta keazaman mereka untuk berjuang bagi menegakkan keadilan dan ideologi mereka; sesuatu yang semakin asing kepada golongan mahasiswa pada hari ini dan semakin pudar ditelan perubahan zaman. Bukanlah menjadi hasrat penulis untuk menyeru sahabat-sahabat sekalian untuk menjadi sedemikian rupa; hanya sekadar menjadi renungan bersama bagi menilai baik dan buruknya. Apa yang lebih penting, golongan mahasiswa ketika itu cukup sedar dan sensitif dengan keadaan semasa di dalam kampus serta perkembangan semasa dalam negara. Dari produk inilah maka lahirnya warganegara yang prihatin dengan hak dan kebajikan mereka selain berani untuk bangkit menegakkan kebenaran sebagaimana perjuangan tokoh-tokoh nasionalisme bangsa semasa dalam cengkaman penjajah British dahulu. Di sinilah dapat dilihat kepentingan kelab dan persatuan.

Apabila seseorang itu berpersatuan tanpa mengira apa jenis kelab atau persatuan, maka ia mendatangkan banyak faedah kepada mereka sama ada dalam jangka masa panjang dan pendek. Menyertai kelab dan persatuan bukan sahaja dapat mengisi masa lapang mereka tetapi juga dapat mengelakkan seseorang terjerumus dalam aktiviti yang sia-sia dan kurang berfaedah seperti “syahid” di kamar tidur serta asyik “bermadu kasih asmara” sepanjang hari. Tambahan pula, ia membolehkan kita untuk berkenalan dengan ramai orang sekaligus dapat mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama kita sebagaimana tuntutan Islam. Hal ini kerana salah satu tujuan Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai bangsa dan kabilah ialah agar kita semua dapat berkenalan antara satu sama lain (al-Hujurat: 12). Selain itu, kelab dan persatuan juga boleh menjadi medium penting untuk memperjuangkan sesuatu perkara berkaitan hak dan kebajikan ahlinya. Dengan itu, ahli-ahli kelab dan persatuan mempunyai saluran untuk menyatakan rasa tidak puas hati ataupun menyatakan sesuatu masalah terhadap pihak atasan untuk tindakan lanjut.

Dalam bidang kepimpinan pula, ia melatih kita menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menunaikan tugas selain dapat mengasah bakat kepimpinan kita. Secara tidak langsung, ia sebenarnya dapat merangsang kita untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik apabila kita mengaplikasikan komitmen dan kesungguhan ketika berpersatuan dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang pembelajaran. Malah lebih penting lagi, ia mengajar kita betapa berharganya masa yang kita ada. Pengalaman penulis sendiri menujukkan bahawa penglibatan dalam persatuan mampu menjadikan kita seorang yang mampu menguruskan masa dengan sistematik antara persatuan, pembelajaran dan masa untuk diri sendiri. Apa yang penting, buatlah jadual peribadi bagi memastikan masa kita terurus dengan baik. Cubalah mendisiplinkan diri untuk mengikutinya; itulah kunci kepada kemampuan kita membahagikan masa dengan baik sekaligus dapat membuat banyak perkara dalam satu waktu.

Sebagai mahasiswa “Ibu Kandung Suluh Budiman” dan bakal pendidik anak bangsa pula, penglibatan dalam kelab dan persatuan memang cukup penting. Cubalah hayati perjuangan tokoh-tokoh reformis yang nama mereka semakin hilang ditelan gelombang zaman seperti Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Isa Muhammad Mahmud yang telah sama-sama menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) bagi membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu. Mereka sebenarnya ‘cukup rapat’ dengan kita semua. Mengapa? Mereka juga adalah produk “Anak Kandung Suluh Budiman” – sama seperti kita semua di UPSI. Cuba kita muhasabah diri kita pula. Apa pula sumbangan kita pada agama, nusa dan bangsa?

Bayangkanlah jika anda sedang menjalani praktikum kelak, anda telah disuruh untuk membuat satu lawatan untuk murid-murid sekolah anda ataupun disuruh untuk menganjurkan satu program motivasi untuk murid-murid sekolah. Jika anda langsung tidak mempunyai pengalaman menganjurkan sesuatu aktiviti atau menguruskan sesuatu program, bagaimanakah anda dapat menganjurkannya? Tentu sukar bukan. Malahan kini sudah tersebar desas-desus daripada senior yang telah menghadiri temuduga untuk posting bahawa soalan-soalan yang ditanya dalam temuduga bukanlah berkaitan dengan aspek pengajaran dan profesyen perguruan bahkan berkaitan dengan kaedah serta langkah dalam menganjurkan sesuatu program. Jika soalan seperti ini yang ditanya, adakah anda mampu menjawabnya dengan baik?

Walaupun begitu, penulis juga tidak menafikan bahawa memang wujud masalah-masalah tertentu ketika berpersatuan seperti percanggahan pendapat antara ahli, wujud ahli yang tidak dapat memberikan komitmen, kekurangan kemudahan dan infrastruktur; namun semua ini dapat diatasi jika semua ahli bertolak-ansur, selalu bersangka baik pada orang lain dan sentiasa mencari ruang untuk bekerjasama. Di sini dapat dilihat kepentingan menghayati konsep dan falsafah “bersatu teguh bercerai roboh” dalam serti kata yang sebenar. Paling penting, sikap sabar perlulah selalu dijadikan pegangan setiap masa dan jangan terlalu mudah mengutuk kesalahan dan kesilapan orang lain; muhasabahlah diri sendiri dahulu sebelum mengkritik orang lain. Insya-Allah jika semua panduan ini diikuti, penglibatan dalam kelab dan persatuan mampu menjadi wadah dan medium yang berguna dalam melahirkan bakal-bakal guru yang bitara. Sebenarnya banyak lagi faedah yang boleh diperolehi dengan berpersatuan.

Oleh yang demikian, segeralah scan diri kita dan delete semua ‘virus malas’ jauh-jauh dari diri kita semua; gantikanlah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk berpersatuan demi manfaat semua di masa hadapan. Rancanglah masa kita dengan baik dan susunlah jadual kita sebaik mungkin agar mempunyai kelapangan untuk melibatkan diri dalam kelab atau persatuan. Libatkanlah diri dalam apa jua bentuk kelab dan persatuan yang ada dalam di kampus ataupun di luar kampus bagi menimba pengalaman dan kemahiran sebanyak mungkin seterusnya dapat melahirkan bakal-bakal guru yang berwawasan, berketerampilan dan berkebolehan.