Rabu, 24 Jun 2009

Petua Kejayaan!



Segala penghuni petala bumbung dan lantai sudah berkumpul.

Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak, berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.

Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.

Pertandingan memanjat pokok pinang.

30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti tertawan.

Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.

“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai menyorakkan tupai.

“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik si katak.

Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas. Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat menambah kudrat.

Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli.

Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak.

Batang pinang dipanjat tak kira orang.

Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.

Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan.

Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

PENGAJARAN

Jika mahu berjaya dalam hidup, sesekali kita perlulah belajar memekakkan diri daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan ataupun pujian. Jika kita sudah menetapkan hala tuju, maka terus sahajalah mara ke hadapan.

“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya pandangan menjadi rosak, apabila kamu berbelah bagi” [Abu Tayyib al-Mutanabbi]

Isnin, 15 Jun 2009

Banyak Fakta Dalam Buku Teks Tidak Relevan

KUALA LUMPUR: Kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula. Beberapa tokoh ilmuwan termasuk ahli Panel Penilai Buku Teks, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran memenuhi hasrat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang. Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata, penelitiannya terhadap buku teks digunakan di sekolah menengah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, katanya, gaya penulisan dalam buku teks sejarah sekolah menengah juga boleh dianggap mengecewakan kerana ia gagal menerangkan secara jelas sesuatu peristiwa secara terperinci. Beliau memberi contoh kesilapan fakta dalam buku teks sejarah Tingkatan Dua yang antara lain menceritakan mengenai peristiwa perjanjian Inggeris-Kedah membabitkan Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786. Sejarah menunjukkan tiada sebarang persefahaman atau perjanjian ditandatangani berhubung perkara itu kerana ia dibantah Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu, manakala pendudukan Francis Light di Pulau Pinang dibuat secara paksaan.

Selain itu, fakta yang menyatakan Negeri Selat hanya membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga tidak tepat kerana Dinding turut pernah dijadikan Negeri Selat sebelum diserahkan kepada kerajaan Perak pada 1936. "Penerangan bagi setiap topik sejarah yang diketengahkan juga tidak jelas menyebabkan pelajar hanya mengetahui sesuatu peristiwa secara asas dan menghafal fakta tanpa diperkukuhkan dengan kefahaman menyeluruh rentetan sebenar peristiwa. "Akibatnya, pelajar kurang minat subjek sejarah dan apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi, pengetahuan mereka sangat cetek malah ada yang gagal mengingati apa yang diajar di sekolah," katanya dalam satu pertemuan kepada Berita Harian, di sini. Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata buku teks subjek berkenaan yang digunakan sekarang, ditulis pada pertengahan 2000 dan dicetak pada 2002.

Justeru, banyak isu yang dimasukkan sudah kurang atau mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa terutama jika dinilai dalam konteks usaha menjayakan aspirasi negara membangunkan modal insan cemerlang. Beliau memberi contoh, perbincangan mengenai isu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang sangat sesuai ketika itu tetapi ia sudah menjadi satu topik basi kerana negara kini bergerak ke satu tahap baru seperti pengenalan agropolitan dan projek luar bandar. "Sewajarnya, buku teks sebagai bahan utama penambah nilai di peringkat sekolah menerapkan perkara ini supaya masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja sedar mengenai pelbagai peluang yang ada di kawasan luar bandar," katanya. Pendapat itu turut disokong Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia tingkatan satu, Profesor Madya Dr Ahmad Mahmood Musanif yang berpendapat Bahagian Buku Teks, unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu sama-sama terbabit menyediakan buku teks. Katanya, punca utama guru tidak gemar menggunakan buku teks ialah kerana soalan peperiksaan yang disediakan tidak menjurus kepada bahan dalam buku teks, sedangkan mereka terpaksa memenuhi kehendak pelbagai pihak untuk memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan. "Jika soalan yang disediakan diambil daripada bahan atau sukatan pelajaran seperti di buku teks, pasti guru akan memaksimumkan penggunaannya dan ia sekali gus tidak merugikan pelaburan kerajaan menerbitkan buku teks," katanya. Sementara itu, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan Selangor mendapati 62 peratus daripada mereka memilih untuk kurang atau tidak menggunakan buku teks jika ada pilihan lain. Malah, kebanyakan guru terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun itu, menyifatkan buku teks sebagai bahan bantu mengajar yang tidak mengikut isu semasa serta kurang latihan dalam mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.

(Dipetik daripada Berita Harian, 12 November 2007)


=> Sebenarnya rencana ini sudah lama dikeluarkan dan dibincangkan, tapi sengaja saya sentuh di sini melihat kepada keperluan kepada pihak Kementerian pelajaran agar menyemak semula kandungan buku teks khususnya subjek Sejarah yang memang menitikberatkan kebenaran sumber yang digunakan. Hakikatnya, memang banyak fakta sejarah sebenar yang perlu diperbaiki dalam buku teks. Kadang kala terasa 'tercucuk' juga hati ini apabila membelek buku teks sejarah yang tidak memaparkan fakta sejarah yang sebenar. Semoga pihak-pihak yang berkenaan, tolong ambil serius masalah ini dan berusaha untuk perbaikinya. Kepada bakal-bakal guru sejarah, tolong dedahkan fakta sejarah sebenar kepada pelajar