Jumaat, 23 Oktober 2009

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR

Sukacita dimaklumkan bahawa, Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS) dan Persatuan Pengajian Malaysia (PPMas) di bawah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, akan mengadakan Majlis Anugerah Dekan seperti pada maklumat di bawah :

Tempat : Auditorium Utama (UPSI)
Tarikh : 29 Oktober 2009 (Khamis)
Masa : 8.00 malam hingga 11.00 malam

PELAJAR PENDIDIKAN SEJARAH DAN PELAJAR PENGAJIAN MALAYSIA YANG MENDAPAT PNGS 3.5 DAN KEATAS UNTUK TAHUN PENGAJIAN SEMESTER 1 & 2 2008/09 PERLU MENANDATANGAI KEHADIRAN MASING2 DI PEJABAT PENTABIRAN FSSK.

Rabu, 8 Julai 2009

Tahun Masihi: A.D. atau B.C.?

Kepada para penulis sejarah muslim, sila ambil perhatian akan perkara ini. Apabila kita menulis berkenaan dengan tarikh-tarikh Masihi, kita membezakan di antara sebelum kelahiran Nabi Isa a.s. dengan B.C. dan selepas itu dengan A.D. Sebagai contoh, Imam Awzaaée dilahirkan pada tahun 708 A.D. atau Julis Cesar dilahirkan pada tahun 100 B.C.

Perkara yang dibangkitkan adalah berkenaan dengan penggunaan singkatan A.D. untuk tahun selepas kelahiran Nabi Isa a.s. Singkatan "A.D." dalam bahasa asalnya bermaksud "Anno Domini" yang membawa makna "Tahun Tuhan Kita".

Orang Islam tidak dapat sesekali menerima kerana Nabi Isa a.s. bukan tuhan. Maka singkatan seperti ini tidak dapat diterima seorang Muslim yang menjaga akidahnya. Mungkin ada juga yang berdalih A.D. bermaksud "After Death" bermaksud selepas kematian. Itu juga tidak dapat diterima kerana pada orang Islam, Nabi Isa a.s. tidak mati disalib.

Oleh yang demikian, sebenarnya masih ada alternatif untuk penggunaan A.D. iaitu C.E. yang bermaksud "Christian atau Common Era" atau zaman kristian yang boleh diterima kerana agama Nasrani (yang tulen/Islam) bermula atau dibawa oleh Nabi Isa a.s. Maka dinasihatkan kita menggunakan C.E. untuk menggantikan A.D. bagi tahun Masihi.

Adapun makna B.C. dalam bahasa kita bermaksud sebelum kelahiran Nabi Isa a.s. Jadi tidak menjejaskan akidah sekiranya kita menggunakannya.

Mungkin perkara ini kelihatan kecil. Namun para ulama zaman berzaman sangat menjaga umat Islam dari terjatuh kepada jalan-jalan kesyirikan dan kemusyrikan. Bahkan para Imam seperti Imam Al Barbaharee r.a. pernah memberi teguran yang serius agar menjauhi jalan-jalan atau perkara-perkara bidáh yang kecil kerana ia akan menjurus kepada bidáh yang lebih besar. Sama-samalah kita renungkan.

Wallhua'lam.

Rabu, 24 Jun 2009

Petua Kejayaan!



Segala penghuni petala bumbung dan lantai sudah berkumpul.

Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak, berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.

Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.

Pertandingan memanjat pokok pinang.

30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti tertawan.

Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.

“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai menyorakkan tupai.

“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik si katak.

Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas. Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat menambah kudrat.

Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli.

Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak.

Batang pinang dipanjat tak kira orang.

Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.

Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan.

Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

PENGAJARAN

Jika mahu berjaya dalam hidup, sesekali kita perlulah belajar memekakkan diri daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan ataupun pujian. Jika kita sudah menetapkan hala tuju, maka terus sahajalah mara ke hadapan.

“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya pandangan menjadi rosak, apabila kamu berbelah bagi” [Abu Tayyib al-Mutanabbi]

Isnin, 15 Jun 2009

Banyak Fakta Dalam Buku Teks Tidak Relevan

KUALA LUMPUR: Kandungan buku teks bagi beberapa mata pelajaran yang digunakan di sekolah sekarang tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa selain banyak kesalahan fakta, menyebabkan ia perlu dinilai semula. Beberapa tokoh ilmuwan termasuk ahli Panel Penilai Buku Teks, berkata penilaian semula itu penting bagi memastikan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran memenuhi hasrat ke arah pembentukan modal insan yang cemerlang. Tokoh sejarah, Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, berkata, penelitiannya terhadap buku teks digunakan di sekolah menengah mendapati banyak kesilapan fakta yang mesti diperbetulkan bagi memastikan pelajar mendapat maklumat tepat.

Selain itu, katanya, gaya penulisan dalam buku teks sejarah sekolah menengah juga boleh dianggap mengecewakan kerana ia gagal menerangkan secara jelas sesuatu peristiwa secara terperinci. Beliau memberi contoh kesilapan fakta dalam buku teks sejarah Tingkatan Dua yang antara lain menceritakan mengenai peristiwa perjanjian Inggeris-Kedah membabitkan Francis Light dengan Sultan Kedah pada 1786. Sejarah menunjukkan tiada sebarang persefahaman atau perjanjian ditandatangani berhubung perkara itu kerana ia dibantah Syarikat Hindia Timur Inggeris ketika itu, manakala pendudukan Francis Light di Pulau Pinang dibuat secara paksaan.

Selain itu, fakta yang menyatakan Negeri Selat hanya membabitkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura juga tidak tepat kerana Dinding turut pernah dijadikan Negeri Selat sebelum diserahkan kepada kerajaan Perak pada 1936. "Penerangan bagi setiap topik sejarah yang diketengahkan juga tidak jelas menyebabkan pelajar hanya mengetahui sesuatu peristiwa secara asas dan menghafal fakta tanpa diperkukuhkan dengan kefahaman menyeluruh rentetan sebenar peristiwa. "Akibatnya, pelajar kurang minat subjek sejarah dan apabila mereka memasuki institusi pengajian tinggi, pengetahuan mereka sangat cetek malah ada yang gagal mengingati apa yang diajar di sekolah," katanya dalam satu pertemuan kepada Berita Harian, di sini. Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata buku teks subjek berkenaan yang digunakan sekarang, ditulis pada pertengahan 2000 dan dicetak pada 2002.

Justeru, banyak isu yang dimasukkan sudah kurang atau mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa terutama jika dinilai dalam konteks usaha menjayakan aspirasi negara membangunkan modal insan cemerlang. Beliau memberi contoh, perbincangan mengenai isu teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memang sangat sesuai ketika itu tetapi ia sudah menjadi satu topik basi kerana negara kini bergerak ke satu tahap baru seperti pengenalan agropolitan dan projek luar bandar. "Sewajarnya, buku teks sebagai bahan utama penambah nilai di peringkat sekolah menerapkan perkara ini supaya masyarakat terutama kanak-kanak dan remaja sedar mengenai pelbagai peluang yang ada di kawasan luar bandar," katanya. Pendapat itu turut disokong Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia tingkatan satu, Profesor Madya Dr Ahmad Mahmood Musanif yang berpendapat Bahagian Buku Teks, unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan Malaysia perlu sama-sama terbabit menyediakan buku teks. Katanya, punca utama guru tidak gemar menggunakan buku teks ialah kerana soalan peperiksaan yang disediakan tidak menjurus kepada bahan dalam buku teks, sedangkan mereka terpaksa memenuhi kehendak pelbagai pihak untuk memastikan pelajar cemerlang dalam peperiksaan. "Jika soalan yang disediakan diambil daripada bahan atau sukatan pelajaran seperti di buku teks, pasti guru akan memaksimumkan penggunaannya dan ia sekali gus tidak merugikan pelaburan kerajaan menerbitkan buku teks," katanya. Sementara itu, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru di Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan Selangor mendapati 62 peratus daripada mereka memilih untuk kurang atau tidak menggunakan buku teks jika ada pilihan lain. Malah, kebanyakan guru terlatih dan mempunyai pengalaman mengajar sekurang-kurangnya lima tahun itu, menyifatkan buku teks sebagai bahan bantu mengajar yang tidak mengikut isu semasa serta kurang latihan dalam mempersiapkan murid menghadapi peperiksaan.

(Dipetik daripada Berita Harian, 12 November 2007)


=> Sebenarnya rencana ini sudah lama dikeluarkan dan dibincangkan, tapi sengaja saya sentuh di sini melihat kepada keperluan kepada pihak Kementerian pelajaran agar menyemak semula kandungan buku teks khususnya subjek Sejarah yang memang menitikberatkan kebenaran sumber yang digunakan. Hakikatnya, memang banyak fakta sejarah sebenar yang perlu diperbaiki dalam buku teks. Kadang kala terasa 'tercucuk' juga hati ini apabila membelek buku teks sejarah yang tidak memaparkan fakta sejarah yang sebenar. Semoga pihak-pihak yang berkenaan, tolong ambil serius masalah ini dan berusaha untuk perbaikinya. Kepada bakal-bakal guru sejarah, tolong dedahkan fakta sejarah sebenar kepada pelajar

Rabu, 22 April 2009

Good Luck!





Salam...

Buat semua warga PERMAS, kita tibalah masa untuk kita menumpukan perhatian kepada prestasi pembelajaran masing-masing pula. Selamat menempuh alam peperiksaan dan semoga kita semua dikurniakan kejayaan Insyallah. Chaiyok2!!

Khamis, 26 Mac 2009

Forum PPSMI: Satu Inovasi & Konfrontasi Dalam Pendidikan




Assalamualaikum WBT..

Sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog ini. Kesibukan tugas sebagai pelajar & 'penerima amanah' menyebabkan tidak banyak masa dapat diperuntukkan untuk menulis & berkongsi idea dan pandangan. Ada beberapa perkara yang ingin saya nyatakan di sini:

1. Kepada sahabat-sahabat yang ada kelapangan pada hari Jumaat, 27 Mac 2009...dijemput untuk menghadiri forum PPSMI bermula jam 9.30 pagi di Bitarasiswa UPSI. Sama-samalah kita memperjuanglah kedudukan bahasa ibunda yang kita cintai agar mampu menjadi bahasa akademik dan wadah perpaduan seluruh warga Malaysia.

2. Memandangkan semester ini tiada Study Week, maka saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada sahabat-sabahat semua yang bakal menempuh final exam nati. Bagi yang telah mula 'melancarkan misi' dalam perjuangan masing-masing, semoga kejayaan tetap bersama kalian.

"Ya Allah...ampunilah hambamu yang lemah ini. Berikanlah kekuatan & ketenagan kepada hambamu ini & satukanlah hati kami di atas kebenaran..."


Salam Ukhuwah

Ibnu Haris 09

Ahad, 15 Februari 2009

Sekadar Untuk Renungan Bersama...

Bismillahirrahmanirrahim...

Hassan Basri, seorang tabien yang terkenal di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ada mengatakan, "...Nasihatilah manusia dengan ilmu dan perkataan. Wahai pemberi nasihat, nasihatilah manusia dengan kejernihan rahsiamu dan ketaqwaan hatimu. Janganlah kamu menasihati mereka dengan kebaikan zahirmu dan keburukan rahsiamu..."

Masya Allah! Alangkah mendalam sekali maksud kata-kata Hassan Basri ini. Terasa diri ini begitu kerdil dan kecil sekali. Terasa seolah-oleh sebatang duri halus telahpun menusuk kalbu dan menikam hati ini. Terasa diri ini terlalu banyak berdosa dengan Tuhan Maha Pencipta dan sahabat-sahabat semua.

Dalam meniti ranjau kehidupan, seseorang itu tidak terlepas aripada melakukan kesilapan. Selagi bergelar seorang manusia, kelemahan dan kesilapan itu memang cukup 'sinonim' dengan kehidupan manusia. Dalam hal ini, kehadiran seorang teman dan sahabat yang prihatin dan sudi untuk menegur kita adalah cukup bererti sekali...seolah-olah seperti 'malaikat rahmat' yang membawa rezeki. Namun begitu, kita seringkali terlupa dengan 'adab' untuk memberi nasihat dan teguran.

Sahabatku, kadang-kadang kita mudah melihat kesilapan dan kekurangan orang lain tanpa menyedari kekurangan kita sendiri. Kadang-kadang kita mudah menyalahkan orang lain tanpa menyedari kesilapan kita sendiri. Kadang-kadang kita mudah menuduh orang lain tanpa menyedari keburukan kita sendiri. Kadang-kadang kita mudah memburukkan orang lain tanpa menyedari kelemahan kita sendiri.

Sebagai seorang yang beriman, memang menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa nasihat-menasihati dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran (al-Asr: 3). Cubalah kita melihat bagaimana Nabi SAW, para sahabat, tabien dan tabi' tabien zaman dahulu saling menasihati dan saling menegur umat Islam di zaman mereka. Bagaimana mereka melakukannya sehingga cukup berkesan sekali hasilnya?

Rahsianya mudah. Mereka menegur umat Islam berpandukan al-Quran iaitu secara hikmah beserta nasihat yang baik (an-Nahl: 125). Namun apa yang lebih penting, ia perlulah datang secara ikhlas daripada diri kita dan bukannya bertujuan untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk dengan apa yang telah dilakukan. Jika tidak, niat ikhlas yang telah disemai pada mulanya untuk menolong dan menasihati orang lain akan berukar menjadi perasaan takbur dan dan meninggi diri dengan 'kelebihan' dan 'kehebatan' kita...nauzubillah.

Apa yang lebih elok, tegurlah secara face-to-face dan bukannya secara emosional dan membuta-tuli. Jangan lupa juga untuk menjaga maruah orang yang ditegur selain perlu dilakukan pada waktu dan majlis yang sesuai. Lebih manis agar teguran tersebut dimulakan dengan muhasabah dan peringatan untuk diri sendiri terlebih dahulu, bimbang diri kita juga akan turut mengulangi kesilapan yang sama suatu hari nati. Hakikatnya, hidup ini seumpama bola dan tuhan itu maha adil. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Jika seseorang itu menegur orang lain tanpa sedikitpun rasa bimbang bahawa dia mungkin akan mengulangi kesilapan yang sama, pasti suatu hari nanti orang tersebut akan 'merasai' sendiri kesilapan tersebut.

Dalam kesempatan ini, saya menyeru diri saya serta sahabat-sahabat sekalian agar melakukan muhabasah untuk diri masing-masing dan sama-sama memperbaiki kesilapan dan kelemahan masing-masing. Jika ada terkasar bahasa, tersilap bicara dan terlanjur langkah, ampunkanlah sahabatmu yang 'lemah' ini. Sebagai seorang kawan pula,nasihatilah rakan anda yang memerlukan teguran anda dengan teguran yang baik, penuh hikmah dan beradab sopan. Insyallah moga-moga semua umat Islam akan kembali bersatu dan obor cahaya Islam akan kembali bersinar ke seluruh pelusuk dunia. Allahu Akbar!!!

Wallahu A'lam


Nukilan ikhlas,
-insan yang sedang mencari hakikat kehidupan dunia-

Isnin, 26 Januari 2009

Pindaan AUKU 2009

Bagi memurnikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 2009, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan pemimpin-pemimpin mahasiswa untuk memberi penerangan mengenainya. Dan, saya kira keputusan saya ambil untuk menghadiri taklimat pindaan AUKU di saat-saat akhir merupakan keputusan yang tepat. Input yang diperolehi hasil penerangan dan sesi soal jawab bersama dengan individu-individu penting yang terlibat dalam pindaan AUKU melihatkan satu budaya yang sihat dan harus diimplementasikan dalam kehidupan seharian selaku mahasiswa.

Bertempat di PICC, Putrajaya, penerangan telah disampaikan oleh Prof Dr Shaik Md Noor Alam Bin S.M Hussain daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang merupakan salah seorang individu penting dalam pindaan AUKU yang terbaru. Untuk pengetahuan mahasiswa/i, akta pindaan 2009 akan bermula secara rasmi pada 1 Februari 2009. Taklimat ini dihadiri oleh universiti-universiti yang berada di zon tengah (UKM, UPM, UPNM, UM,UTM KL dan beberapa lagi IPTA)

Antara bahagian-bahagian penting yang saya ketengahkan disini adalah

# Syeksyen 15 (yang baharu) Hak Berpersatuan.

1) Seseorang pelajar Universiti boleh menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang, dalam/luar Universiti, dalam atau luar Malaysia, kecuali :

a) mana-mana parti politik, dalam atau luar negara

b) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, dalam atau luar Malaysia

c) mana-mana pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan oleh Menteri, selepas berunding dengan Lembaga dan diberitahu secara bertulis kepada Naib Cancelor sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau universiti.

Pertubuhan badan dan kumpulan pelajar yang ditubuhkan di bawah perlembagaan turut diberi hak yang sama dan tertakluk kepada sekatan yang sama.

Selepas Menteri menyatakan/menamakan kepada Naib Canselor pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang ditetapkan beliau sebagai tidak sesuai adalah menjadi tanggungjawab Naib Canselor untuk menyampaikan kepada pelajar, atau pertubuhan pelajar berkenaan

Pengecualian : Naib Canselor boleh, atas permohonan pelajar, mengecualikan pelajar itu daripada peruntukan 15(1)(a)

*contoh : ahli politik menjadi pelajar

Jumaat, 9 Januari 2009

Mahasiswa Dibenar Sertai Demonstrasi Kutuk Israel



KUALA LUMPUR 8 Jan. - Pelajar universiti di negara ini dibenar menyertai mana-mana demontrasi membantah tindakan kejam Israel menyerang Palestin manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan demontrasi bantahan itu, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya kementerian tidak mempunyai sebarang halangan kepada pelajar dan universiti untuk membuat bantahan seperti itu berikutan pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lepas, yang membenarkan pelajar bersekutu dengan atau menjadi anggota sesuatu pertubuhan, persatuan atau organisasi sama ada dalam atau luar negara.

“Pindaan kepada AUKU membenarkan pelajar untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebegini rupa, maka tidak ada halangan untuk mereka menyatakan sikap dan pendirian menyertai usaha yang dilakukan.

“Saya percaya dengan kematangan pelajar dan mereka boleh menggunakan kebijaksanaan sendiri (untuk menentukan pendirian mereka),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ’Malaysia Future Leadership’ anjuran CIMB Group and The Wall Street Journal Asia di Universiti Malaya di sini hari ini. - BERNAMA

Jumaat, 2 Januari 2009

ADA APA DENGAN KELAB DAN PERSATUAN?




Oleh: Ibnu Haris

Tahun 1970-an telah menyaksikan satu anjakan paradigma dalam sejarah pergerakan dan perjuangan golongan mahasisawa di Malaysia. Pada ketika inilah muncul tokoh-tokoh pemimpin pelajar yang agak radikal seperti Anwar Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Razali Nawawi serta Sidiq Fadhil. Dalam masa yang sama, nama-nama persatuan pelajar seperti Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) mula mengukir nama di persada politik tanah air khususnya PKPIM dan PBMUM yang dipimpin kedua-duanya oleh saudara Anwar Ibrahim selaku presiden pada sesi 1969/1970. Inilah antara senario pergerakan pelajar dan politik kampus yang pernah berlaku sekitar 1970-an dahulu; senario yang melambangkan manifestasi dan semangat berkobar-kobar golongan mahasisawa dalam memperjuangkan hak dan kebenaran sejagat.

Begitulah kuatnya ‘aura’ kesedaran mereka dan tebalnya cinta serta keazaman mereka untuk berjuang bagi menegakkan keadilan dan ideologi mereka; sesuatu yang semakin asing kepada golongan mahasiswa pada hari ini dan semakin pudar ditelan perubahan zaman. Bukanlah menjadi hasrat penulis untuk menyeru sahabat-sahabat sekalian untuk menjadi sedemikian rupa; hanya sekadar menjadi renungan bersama bagi menilai baik dan buruknya. Apa yang lebih penting, golongan mahasiswa ketika itu cukup sedar dan sensitif dengan keadaan semasa di dalam kampus serta perkembangan semasa dalam negara. Dari produk inilah maka lahirnya warganegara yang prihatin dengan hak dan kebajikan mereka selain berani untuk bangkit menegakkan kebenaran sebagaimana perjuangan tokoh-tokoh nasionalisme bangsa semasa dalam cengkaman penjajah British dahulu. Di sinilah dapat dilihat kepentingan kelab dan persatuan.

Apabila seseorang itu berpersatuan tanpa mengira apa jenis kelab atau persatuan, maka ia mendatangkan banyak faedah kepada mereka sama ada dalam jangka masa panjang dan pendek. Menyertai kelab dan persatuan bukan sahaja dapat mengisi masa lapang mereka tetapi juga dapat mengelakkan seseorang terjerumus dalam aktiviti yang sia-sia dan kurang berfaedah seperti “syahid” di kamar tidur serta asyik “bermadu kasih asmara” sepanjang hari. Tambahan pula, ia membolehkan kita untuk berkenalan dengan ramai orang sekaligus dapat mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama kita sebagaimana tuntutan Islam. Hal ini kerana salah satu tujuan Allah SWT menciptakan manusia dalam pelbagai bangsa dan kabilah ialah agar kita semua dapat berkenalan antara satu sama lain (al-Hujurat: 12). Selain itu, kelab dan persatuan juga boleh menjadi medium penting untuk memperjuangkan sesuatu perkara berkaitan hak dan kebajikan ahlinya. Dengan itu, ahli-ahli kelab dan persatuan mempunyai saluran untuk menyatakan rasa tidak puas hati ataupun menyatakan sesuatu masalah terhadap pihak atasan untuk tindakan lanjut.

Dalam bidang kepimpinan pula, ia melatih kita menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menunaikan tugas selain dapat mengasah bakat kepimpinan kita. Secara tidak langsung, ia sebenarnya dapat merangsang kita untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik apabila kita mengaplikasikan komitmen dan kesungguhan ketika berpersatuan dengan berusaha bersungguh-sungguh dalam bidang pembelajaran. Malah lebih penting lagi, ia mengajar kita betapa berharganya masa yang kita ada. Pengalaman penulis sendiri menujukkan bahawa penglibatan dalam persatuan mampu menjadikan kita seorang yang mampu menguruskan masa dengan sistematik antara persatuan, pembelajaran dan masa untuk diri sendiri. Apa yang penting, buatlah jadual peribadi bagi memastikan masa kita terurus dengan baik. Cubalah mendisiplinkan diri untuk mengikutinya; itulah kunci kepada kemampuan kita membahagikan masa dengan baik sekaligus dapat membuat banyak perkara dalam satu waktu.

Sebagai mahasiswa “Ibu Kandung Suluh Budiman” dan bakal pendidik anak bangsa pula, penglibatan dalam kelab dan persatuan memang cukup penting. Cubalah hayati perjuangan tokoh-tokoh reformis yang nama mereka semakin hilang ditelan gelombang zaman seperti Ibrahim Yaacob, Hassan Manan, Abdul Karim Rashid dan Isa Muhammad Mahmud yang telah sama-sama menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) bagi membangkitkan semangat nasionalisme orang Melayu. Mereka sebenarnya ‘cukup rapat’ dengan kita semua. Mengapa? Mereka juga adalah produk “Anak Kandung Suluh Budiman” – sama seperti kita semua di UPSI. Cuba kita muhasabah diri kita pula. Apa pula sumbangan kita pada agama, nusa dan bangsa?

Bayangkanlah jika anda sedang menjalani praktikum kelak, anda telah disuruh untuk membuat satu lawatan untuk murid-murid sekolah anda ataupun disuruh untuk menganjurkan satu program motivasi untuk murid-murid sekolah. Jika anda langsung tidak mempunyai pengalaman menganjurkan sesuatu aktiviti atau menguruskan sesuatu program, bagaimanakah anda dapat menganjurkannya? Tentu sukar bukan. Malahan kini sudah tersebar desas-desus daripada senior yang telah menghadiri temuduga untuk posting bahawa soalan-soalan yang ditanya dalam temuduga bukanlah berkaitan dengan aspek pengajaran dan profesyen perguruan bahkan berkaitan dengan kaedah serta langkah dalam menganjurkan sesuatu program. Jika soalan seperti ini yang ditanya, adakah anda mampu menjawabnya dengan baik?

Walaupun begitu, penulis juga tidak menafikan bahawa memang wujud masalah-masalah tertentu ketika berpersatuan seperti percanggahan pendapat antara ahli, wujud ahli yang tidak dapat memberikan komitmen, kekurangan kemudahan dan infrastruktur; namun semua ini dapat diatasi jika semua ahli bertolak-ansur, selalu bersangka baik pada orang lain dan sentiasa mencari ruang untuk bekerjasama. Di sini dapat dilihat kepentingan menghayati konsep dan falsafah “bersatu teguh bercerai roboh” dalam serti kata yang sebenar. Paling penting, sikap sabar perlulah selalu dijadikan pegangan setiap masa dan jangan terlalu mudah mengutuk kesalahan dan kesilapan orang lain; muhasabahlah diri sendiri dahulu sebelum mengkritik orang lain. Insya-Allah jika semua panduan ini diikuti, penglibatan dalam kelab dan persatuan mampu menjadi wadah dan medium yang berguna dalam melahirkan bakal-bakal guru yang bitara. Sebenarnya banyak lagi faedah yang boleh diperolehi dengan berpersatuan.

Oleh yang demikian, segeralah scan diri kita dan delete semua ‘virus malas’ jauh-jauh dari diri kita semua; gantikanlah dengan semangat yang berkobar-kobar untuk berpersatuan demi manfaat semua di masa hadapan. Rancanglah masa kita dengan baik dan susunlah jadual kita sebaik mungkin agar mempunyai kelapangan untuk melibatkan diri dalam kelab atau persatuan. Libatkanlah diri dalam apa jua bentuk kelab dan persatuan yang ada dalam di kampus ataupun di luar kampus bagi menimba pengalaman dan kemahiran sebanyak mungkin seterusnya dapat melahirkan bakal-bakal guru yang berwawasan, berketerampilan dan berkebolehan.