Ahad, 15 Februari 2009

Sekadar Untuk Renungan Bersama...

Bismillahirrahmanirrahim...

Hassan Basri, seorang tabien yang terkenal di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ada mengatakan, "...Nasihatilah manusia dengan ilmu dan perkataan. Wahai pemberi nasihat, nasihatilah manusia dengan kejernihan rahsiamu dan ketaqwaan hatimu. Janganlah kamu menasihati mereka dengan kebaikan zahirmu dan keburukan rahsiamu..."

Masya Allah! Alangkah mendalam sekali maksud kata-kata Hassan Basri ini. Terasa diri ini begitu kerdil dan kecil sekali. Terasa seolah-oleh sebatang duri halus telahpun menusuk kalbu dan menikam hati ini. Terasa diri ini terlalu banyak berdosa dengan Tuhan Maha Pencipta dan sahabat-sahabat semua.

Dalam meniti ranjau kehidupan, seseorang itu tidak terlepas aripada melakukan kesilapan. Selagi bergelar seorang manusia, kelemahan dan kesilapan itu memang cukup 'sinonim' dengan kehidupan manusia. Dalam hal ini, kehadiran seorang teman dan sahabat yang prihatin dan sudi untuk menegur kita adalah cukup bererti sekali...seolah-olah seperti 'malaikat rahmat' yang membawa rezeki. Namun begitu, kita seringkali terlupa dengan 'adab' untuk memberi nasihat dan teguran.

Sahabatku, kadang-kadang kita mudah melihat kesilapan dan kekurangan orang lain tanpa menyedari kekurangan kita sendiri. Kadang-kadang kita mudah menyalahkan orang lain tanpa menyedari kesilapan kita sendiri. Kadang-kadang kita mudah menuduh orang lain tanpa menyedari keburukan kita sendiri. Kadang-kadang kita mudah memburukkan orang lain tanpa menyedari kelemahan kita sendiri.

Sebagai seorang yang beriman, memang menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa nasihat-menasihati dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran (al-Asr: 3). Cubalah kita melihat bagaimana Nabi SAW, para sahabat, tabien dan tabi' tabien zaman dahulu saling menasihati dan saling menegur umat Islam di zaman mereka. Bagaimana mereka melakukannya sehingga cukup berkesan sekali hasilnya?

Rahsianya mudah. Mereka menegur umat Islam berpandukan al-Quran iaitu secara hikmah beserta nasihat yang baik (an-Nahl: 125). Namun apa yang lebih penting, ia perlulah datang secara ikhlas daripada diri kita dan bukannya bertujuan untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk dengan apa yang telah dilakukan. Jika tidak, niat ikhlas yang telah disemai pada mulanya untuk menolong dan menasihati orang lain akan berukar menjadi perasaan takbur dan dan meninggi diri dengan 'kelebihan' dan 'kehebatan' kita...nauzubillah.

Apa yang lebih elok, tegurlah secara face-to-face dan bukannya secara emosional dan membuta-tuli. Jangan lupa juga untuk menjaga maruah orang yang ditegur selain perlu dilakukan pada waktu dan majlis yang sesuai. Lebih manis agar teguran tersebut dimulakan dengan muhasabah dan peringatan untuk diri sendiri terlebih dahulu, bimbang diri kita juga akan turut mengulangi kesilapan yang sama suatu hari nati. Hakikatnya, hidup ini seumpama bola dan tuhan itu maha adil. Ada masa kita di atas dan ada masa kita di bawah. Jika seseorang itu menegur orang lain tanpa sedikitpun rasa bimbang bahawa dia mungkin akan mengulangi kesilapan yang sama, pasti suatu hari nanti orang tersebut akan 'merasai' sendiri kesilapan tersebut.

Dalam kesempatan ini, saya menyeru diri saya serta sahabat-sahabat sekalian agar melakukan muhabasah untuk diri masing-masing dan sama-sama memperbaiki kesilapan dan kelemahan masing-masing. Jika ada terkasar bahasa, tersilap bicara dan terlanjur langkah, ampunkanlah sahabatmu yang 'lemah' ini. Sebagai seorang kawan pula,nasihatilah rakan anda yang memerlukan teguran anda dengan teguran yang baik, penuh hikmah dan beradab sopan. Insyallah moga-moga semua umat Islam akan kembali bersatu dan obor cahaya Islam akan kembali bersinar ke seluruh pelusuk dunia. Allahu Akbar!!!

Wallahu A'lam


Nukilan ikhlas,
-insan yang sedang mencari hakikat kehidupan dunia-