Jumaat, 15 Ogos 2008

SALAM MAHABBAH untuk barisan MT PERMAS baru sesi 2008/09 !

Assalamualaikum WBT....

Pertamanya saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya, maka sesi pemilihan MT PERMS yang baru bagi sesi 2008/09 telah berjalan dengan jayanya. Tak lupa juga kepada semua AJK yang terlibat alam menjayakan Mesyuarat Agung PERMAS 2008 yang lalu terutamanya saudara Mohamad Rahimi selaku pengarah program. Alhamdulillah, berkat kerjasama dan sokongan semua pihak maka majlis tersebut berjalan dengan lancar juga akhirnya walaupun terdapat beberapa masalah.

Sebelum itu, rasanya belum terlambat untuk saya ucapkan jutaan terima kasih buat mantan YDP PERMAS sesi 2007/08, saudara Annuar Abdul Rahman yang telah memberikan tunjuk ajar, nasihat, sokongan, dorongan dan semangat sepanjang berada di bawah kepimpinan beliau dahulu. Segala pengalaman, pahit maung dan suka duka akan dijadikan kenangan dan renungan untuk bekalan masa hadapan kelak. Hakikatnya...pelbagai 'ujian' dan 'dugaan' telah dihadapi sepanjang bersama PERMAS dahulu, namun semua ini akan tetap kemas bersemi dan terpahat di hati ini dalam menempuh perjalanan hidup yang masih lagi panjang dan belum pasti kesudahannya.

Buat barisan kepimpinan MT PERMAS yang baru, sekalung tahniah diucapkan buat kalian semua. Kalian sememangnya berbakat dan layak kerana telah menjadi pilihan ahli-ahli PERMAS. Mulai saat ini, kalianlah 'tiang-tiang rumah' PERMAS; jika kalian 'condong' dan 'senget'...maka condong dan sengetlah PERMAS. Hakikatnya, kalianlah 'kelasi-kelasi' yang akan mengemudi ombak dan gelombang kesibukan aktiviti PERMAS kelak. Kalian jugalah 'askar-askar' yang terpaksa 'berkorban' masa, tenaga dan wang ringgit dalam menempuh 'medan pertempuran' program-program PERMAS kelak. Akan ada nanti 'panglima' armada tentera PERMAS yang akan 'gugur' di dalam pelbagai kesibukan dan tanggungjawab lain kelak. Jadi, persiapkanlah diri kalian dengan segala bekalan dan persediaan yang secukupnya selain bersedia untuk bekerja bersama-sama sebagai sebuah pasukan seperti seruan ZA'BA kepada orang Melayu, "Bekerja bersama-sama...jika mereka berhajat hendak mengangkat diri mereka ke tempat yang tinggi daripada kerendahannya dan kenyataannya yang menyelubungi mereka sekarang ini...". Bukan untuk membebel, menakutkan atau memberi tekanan kepada kalian semua....tetapi lebih kepada peringatan dan nasihat ikhlas daripada seorang 'abang' untuk 'adik-adiknya' kerana inilah hakikat sebenar yang perlu kalian sedari apabila bersama keluarga PERMAS.

Hakikatnya, jawatan dalam PERMAS bukanlah untuk mengejar 'glamour' dan kedudukan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang telah diamanahkan di pundak kalian semua. Ia juga bukan 'tiket' untuk bermegah-megah dan bukan juga 'kunci' untuk membuka segala pintu kesombongan dan meninggi diri yang tidak punya apa-apa nilai di sisi Ilahi. Cubalah perhatikan kata-kata Umar Abdul Aziz, seorang khalifah Islam yang terkenal tatkala dipilih menjadi khalifah, "Demi Allah, ini sama sekali bukanlah atas permintaanku, baik secara rahsia atau terang-terangan..." sambil mengucap Istirja' (mengucap Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un). Dalam hal ini, bukanlah maksud saya supaya kita terus menolak jawatan yang diberi tetapi agar kita lebih 'menyedari' hakikat sebenar tanggungjawab dan amanah yang telah diberi.

Sedarlah wahai sahabatku sekalian....kehidupan dunia ini penuh dengan pelbagai ujian dan pancaroba yang akan menanti. Tak perlulah kita lari dari pancaroba duniawi, tapi berusahalah mencari jalan penyelesaian hakiki serta kehidupan yang kekal abadi. Cubalah hayati lirik lagu Hijjaz, "Lukisan Alam" kerana ianya mengajar kalian tentang hakikat kehidupan dunia yang sebenar. Bukan untuk menggalakkan kalian sentiasa berhibur sehingga lupa diri , tetapi jadikanlah ia sebagai medium untuk mengenali hakikat dunia ini. Seperkara lagi, untuk berjaya dalam hidup ini, kita perlulah mempunyai prinsip dan disiplin yang tinggi. Janganlah mempunyai prinsip dan disiplin seperti lalang yang akan berterbangan apabila ditiup angin pagi. Apabila menuntut ilmu, jadilah seperti pokok padi yang akan merendahkan diri apabila semakin berisi.

Akhir kata, saya menyeru untuk diri sendiri dan semua MT PERMAS agar sama-sama berusaha dan bekerjasama untuk memajukan lagi PERMAS. Nasihat, pandangan dan buah fikiran yang bernas amatlah diharap-harapkan daripada kalian semua. Biarlah kita dikenali dan diingati sebagai insan yang telah berbakti bukan sahaja kepada ahli-ahli PERMAS yang dikasihi tetapi juga kepada seluruh warga UPSI. Insyaallah, semoga kalian semua akan diberkati dan dirahmati sepanjang perjalanan ini. Selamat menjalankan tugas!

Tiada ulasan: