Selasa, 23 Disember 2008

ADAB DALAM BERBICARA: DI MANAKAH HILANG SERINYA?


Oleh: Ibnu Haris


Dalam dunia globalisasi abad ke-21, pelbagai medium telah digunakan untuk menyampaikan maklumat yang terkini dan mutakhir. Dalam hal ini, media massa elektronik seperti radio, televisyen dan internet telah memainkan peranan yang penting seiring dengan media massa yang bercetak seperti akhbar dan majalah. Hakikatnya, ‘dunia tanpa sempadan’ pada hari ini telah merubah hampir keseluruhan aspek kehidupan manusia di mana maklumat kini berada di ‘hujung jari’ sahaja. Pendek kata dengan menggunakan ‘hujung jari’ sahaja, kita mampu menggapai pelbagai informasi dan ‘meneroka’ seantero dunia.

Sebagai pelajar pula, saluran utama penyampaian maklumat adalah melalui pengajaran dan penyampaian guru. Dalam hal ini, segala ilmu pengetahuan akan dicurahkan dan disampaikan terus kepada para pelajar tanpa sebarang ‘perantaraan’ ibarat menuang air terus ke dalam gelas tanpa sebarang penapis. Sebagai pelajar universiti pula, golongan mahasiswa berhadapan dengan syarahan para pensyarah dan profesor yang memiliki pelbagai ragam dan gaya dalam menyampaikan isi pengajarannya.

Namun begitu, terdapat segelintir pensyarah dan profesor yang langsung ‘tidak beradab’ ketika menyampaikan syarahan dalam kuliah mereka. Dalam hal ini, mereka bebas mengkritik, menghina, mengutuk bahkan memburukkan pihak yang lain sesuka hati mereka. Pendek kata, setiap perkataan yang keluar daripada mulut mereka ibarat ‘peluru sesat’ yang tidak mengenali mangsanya. Dalam istilah golongan muda pula, ‘mulut’ mereka langsung tidak mempunyai insurans. Jika dibuat analisis, mungkin hanya 20% sahaja isi kandungan pengajaran mereka yang relevan dengan subjek yang dipelajari manakala selebihnya penuh dengan tohmahan, kritikan, sindiran, penghinaan dan kutukan. Apakah bentuk teknik pengajaran yang mereka gunakan sebenarnya? Dalam hal ini, subjek Pedagogi mungkin perlu dikemaskinikan dan dimasukkan satu lagi aliran baru dalam teknik pengajaran – aliran “Kritikanisme”. Mungkin subjek tersebut lebih sesuai dipanggil “Sesi Kritikan Bebas” berbanding sesi kuliah biasa.

Apa yang lebih menyedihkan, terdapat sesetengah daripada mereka yang berlagak seperti ‘mufti’ yang layak mengeluarkan fatwa dengan sesuka hati mereka. Mereka juga bebas mengkritik kandungan pengajaran yang disampaikan oleh golongan ulamak dan ustaz ini tanpa mengerti maksud sebenar isi kandungan yang disampaikan oleh golongan ustaz tadi. Berbekalkan ilmu agama yang sekadar ‘mencukupi’ dan sedikit bekalan logik akal semata-mata, ramuan ini digunakan bagi melengkapkan ‘resepi’ mereka dalam mengkritik golongan ulamak sesuka hati mereka. Dari awal pengajaran hingga ke akhir, golongan ini menjadi sasaran ‘anak-anak panah’ mereka yang dilancarkan menggunakan busur yang salah.

Persoalannya, adakah layak bagi golongan pensyarah dan profesor ini mengeluarkan ‘fatwa’ mereka dalam sesuatu bidang yang tidak mereka pelajari dengan mendalam atau di luar bidang mereka? Adakah dengan menggunakan logik akal dan ‘sedikit’ pengetahuan agama sahaja maka mereka sudah layak untuk mengkritik golongan ulamak sesuka hati mereka? Lupakah mereka segala adab dan akhlak yang telah diajar oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada kita dalam berbicara? Lupakah mereka bahawa ada dua malaikat di kanan dan kiri kita yang akan mencatat setiap percakapan yang mereka ucapkan? Adakah amalan ibadat mereka sudah tinggi menggunung sehingga melayakkan mereka untuk memfitnah dan mengkritik orang lain sesuka hati? Adakah boleh dijamin bahawa kesemua kritikan yang dilemparkan adalah benar dan bersandarkan bukti yang kukuh? Di manakah hilangnya kredibiliti mereka sebagai seorang muslim yang beradab, berakhlak mulia dan mempunyai budi bahasa dan pekerti yang tinggi sebagaimana yang dituntut oleh Islam?

Dalam hal ini, penulis tidak mengatakan bahawa golongan ulamak, tok guru, ustaz dan guru agama ini adalah ma’sum (terpelihara daripada membuat dosa seperti para nabi dan rasul). Penulis juga tidak mengatakan bahawa semua isi kandungan pengajaran golongan ulamak ini adalah betul kerana sebagai manusia biasa, mereka tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Penulis juga tidak menafikan wujud segelintir ‘golongan ulamak’ yang hanya mahu menjaga kepentingan periuk nasi mereka dan sanggup ‘menjual’ agama demi kehidupan dunia. Penulis juga sedar bahawa sebagai seorang individu yang bebas, setiap orang berhak untuk mempunyai pandangan sendiri dalam segenap perkara. Penulis juga sedar bahawa setiap individu mempunyai kebebasan untuk mengkritik sesiapa sahaja yang dirasakan perlu dikritik namun perlulah mematuhi batas-batas agama, undang-undang dan adat serta kebudayaan sesuatu masyarakat.

Kritikan memang dibenarkan dalam sesetengah keadaan misalnya dalam membetulkan sesuatu kesilapan yang dilakukan seseorang tanpa disedarinya. Namun begitu, terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi agar kritikan yang dilakukan tidak melampaui batas. Misalnya, ia perlulah dilakukan secara beradab dan penuh hikmah. Selain itu, ianya haruslah dilakukan oleh orang yang benar-benar ‘layak’. Layak yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang memang benar-benar mendalami bidang agama dan bukan hanya ‘mengutip’ atau ‘mencelup’ ilmu agama secara sambil lewa dan sekadar mengisi masa lapang sahaja. Adakah layak untuk seekor arnab mengkritik kura-kura yang berjalan lambat berbanding binatang lain sedangkan bentuk fizikal dan cara kehidupan mereka yang jauh berbeza? Adakah layak seorang ahli sains mengkritik pemikiran ahli falsafah yang dirasakan bertentangan dengan aliran ataupun landasan pemikiran falsafah yang sebenar?

Penyelesaian terbaik kepada permasalahan ini ialah kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW (an-Nisa’: 9). Nabi SAW sendiri sebagai contoh tauladan terbaik bagi seluruh manusia memang diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak (Hadis Riwayat Hakim). Dalam hal ini, kaedah berdakwah yang dianjurkan oleh Islam iaitu dengan penuh hikmah serta memberikan nasihat yang baik merupakan kaedah terbaik yang dapat diaplikasikan dalam menyatakan sesuatu kritikan dan rasa tidak puas hati (an-Nahl: 125). Penulis juga merasakan istilah “teguran” lebih memenuhi maksud sebenar untuk membetulkan sebarang kesilapan yang dilakukan oleh seseorang. Hal ini kerana istilah kritikan itu sendiri sebenarnya memberi erti bahawa seseorang menyatakan rasa tidak puas hati secara berterus-terang dengan tidak memikirkan sensitiviti pihak yang dikritiknya. Bahkan falsafah teguran itu sendiri sebenarnya mempunyai maksud yang lebih luas iaitu untuk memperbaiki kesilapan dan kesalahan seseorang secara beradab dan penuh hikmah.

Hakikatnya, golongan yang suka mengkritik orang lain tanpa bukti yang kukuh selain tidak memikirkan sensitiviti pihak lain memang tidak patut ‘dikagumi’ dan dijadikan role model. Bahkan mereka tidak layak untuk dipanggil “pendidik”, mungkin hanya layak digelar “pengkritik” sahaja. Menurut kaedah usul fiqh, matlamat tidak menghalalkan cara. Dalam hal ini, apa guna matlamat asal untuk melakukan satu anjakan paradigma bagi ‘mengubah’ pemikiran golongan pelajar terhadap suatu perkara namun akhirnya melahirkan pelajar yang ‘tidak beradab’ dan bebas mengkritik orang lain sesuka hati mereka? Inikah hasrat dan matlamat kerajaan dalam bidang pendidikan iaitu untuk melahirkan warganegara yang biadap dan kurang ajar?

Akhir kalam, cubalah kita hayati peribahasa Melayu lama, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa” dan peribahasa “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, dalam erti kata yang sebenar. Walaupun tampak ringkas, namun peribahasa ini mempunyai maksud yang cukup mendalam dan boleh dijadikan panduan dalam berbicara dan berkata-kata. Sama-samalah kita renungkan.

Tiada ulasan: